Laporan Da'wah di Germany

Selasa, 10 Jun 2008

Oleh dzul,2005-06-15 11:39:19

Bismillahirohmanirrohim.Im Namen Allahs, des Allarbarmers, des Barmherzigen.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Yusuf 12:108)”

Assalamu’alaykum warahmatullahi wabarakatuh,

Kehadapan syura dan rakan-rakan seusaha semoga sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah Ta’ala.

Alhamdulillah, sekarang telah hampir 2 bulan kami dalam perjalanan membuat usaha atas iman serta mencari keredhaan Allah Ta’ala.

Alhamdulillah, kami bersyukur kehadrat Illahi kesemua kami dalam keadaan sihat wal’afiat, juga satu hati dan bertambah keakraban serta kasih sayang.

Lapuran kami teruskan di Sehid Samil Masjid, Reutlingen. Sebelum ini tiada jemaah yang pernah buat usaha di masjid ini kerana mereka tidak membenarkan beriktikaf dalam masjid. Alhamdulillah, dengan fikir risau dan usaha karkun tempatan, kami adalah jemaah pertama yang dibenarkan beriktikaf. Walaupun masjid ini dikenali sebagai masjid Turki, tetapi 3 orang karkun tempatan dari Habsyah, AlJaazair dan Pakistan telah berusaha memecahkan benteng pemisahan antara keturunan dengan baik dan penuh hikmah. Natijahnya, masha’Allah, sambutan penduduk tempatan adalah sangat baik dan mereka sangat senang dengan kedatangan kami.

Di masjid ini kami banyak belajar bagaimana bergaul dengan masyarakat Islam Turki di Germany. Subhanallah, mereka pada zahirnya nampak kasar dan tidak mesra tetapi ikhtilat dan ikram membuka lebar ruang kemesraan dan kasih sayang. Di masjid ini kami dilayan dan dijamu seolah-olah kami adalah satu rombongan orang-orang kenamaan dari Malaysia. Jelas terbayang erti memuliakan tetamu dan ikram muslimin, sehinggakan ianya menampakkan betapa kekurangannya layanan kami terhadap saudara-saudara kami yang bergerak dalam jemaah-jemaah dakwah dan tabligh yang pernah mengunjungi masjid dan surau di tempat kami. Semoga Allah Ta’ala ambil kerja agama dari mereka semua kerana mereka lebih layak dari kami. Perjumpaan dan perpisahan sentiasa dengan pelukan mesra dan senyuman. Malah mereka menunjukkan kesukaan mereka kepada jemaah kami sehinggakan kami tidak tahu apa reaksi kami apabila mereka mengambil foto-foto kami dalam masjid sewaktu bayan!

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (Al-Anfaal 8:74)

Route kami seterusnya adalah Albstadt, satu bandar kecil di selatan Germany berhampiran sempadan Switzerland. Beberapa orang pelajar Malaysia belajar dan buat usaha agama di sini. Rata-rata pelajar Malaysia yang belajar di Germany ini dikenali oleh orang Islam tempatan sebagai pemuda-pemuda yang soleh dan penggerak usaha agama. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Maulana Ilyas rahmatullah alayh bahawa bukanlah maksud usaha agama ini semata-mata untuk melahirkan para hafiz dan para alim tetapi untuk melahirkan masyarakat “dindar” (yang soleh dan bertaqwa). Jelas, pelajar-pelajar Malaysia, khususnya yang telah didedahkan dengan usaha dakwah dan tabligh sebelum datang ke sini, telah menjadi penggerak dan pembantu kepada usaha agama di Germany. Walaupun di tempat yang telah maju usaha agama seperti di United Kingdom, pelajar-pelajar Malaysia telah lama menjadi penggerak kepada usaha agama di sana, tetapi kebanyakan mereka adalah daripada kalangan post graduate, manakala di German mereka terdiri daripada pemuda-pemuda daripada kalangan undergraduate. Dalam usia semuda mereka, mereka telah berjaya menambat hati masyarakat Islam tempatan. Mereka bahkan menjadi muazin dan imam-imam di masjid-masjid makami mereka. Semoga Allah Ta’ala meningkatkan fikir dan usaha rakan-rakan kami yang telah mengambil tanggungjawab atas usaha agama pelajar-pelajar di IPTA/IPTS, khususnya pelajar-pelajar yang sedang mengikuti kursus persediaan ke luar negara. Sesungguhnya usaha atas pelajar-pelajar tersebut telah menjadi asbab hidayat ke seluruh alam dan akan terus menjadi asbab hidayat atas hati-hati manusia di seluruh dunia, insya’ Allah.

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Al-Ankabuut 29:69)

Di Switzerland, kami buat usaha dari Masjid Madni, Weinbergstrasse 147, Zurich, Schweiss. Switzerland bukanlah termasuk dalam route takaza kami dari KL, tetapi beberapa orang rakan seusaha dari Malaysia telah memaklumkam kepada orang-orang tanggungjawab Germany supaya kami di hantar ke sana selama beberapa hari. Ada dua orang rakan seusaha dari Malaysia di Swiss, seorang telah menetap 16 tahun di sana dan seorang lagi bekerja di Sauber-Petronas Zurich. Kami juga dinusrah oleh seorang rakan seusaha berbangsa Itali yang fasih bercakap Kelantan. Masya Allah, beliau mendapat hidayat sewaktu beliau melancong ke Kelantan dan buat usaha agama di Kelantan selama 4 tahun sebelum berhijrah ke Switzerland. Beliau sangat serasi menjadi mutarjim jemaah kami kerana beliau hanya boleh bertutur dalam loghat Kelantan.

Kami buat usaha di Zurich hanya selama 4 hari. Dari sana kami dapat sedikit karguzari tentang usaha agama di Swizerland. Usaha agama di Switzerland bermula sekitar awal 1970an. Jemaah pertama yang sampai ke Swizerland adalah jemaah dari Pakistan. Mereka telah memulakan usaha di Swizerland dalam keadaan payah dan penuh mujahadah. Oleh kerana hampir tiada masjid di Swizerland pada masa itu, mereka telah tidur berhamparkan salji. Berkat susah payah mereka dan usaha agama yang mulai berputik di Swizerland, sekarang telah ada 120 buah masjid di seluruh Schweiss. Di kawasan Zurich sahaja ada 30 buah masjid, 15 buah masjid dalam pusat bandar, dan daripadanya 6 masjid ada amalan makami. Satu gereja telah diubah menjadi masjid di Zurich.

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-An’aam 6:153)

Kami dapat karguzari bahawa sebelum usaha agama berkembang di Switzerland, masyarakat Islam di sana amat dibenci oleh masyarakat tempatan kerana keadaan akhlak mereka yang tercela dan terlibat dalam berbagai kegiatan maksiat dan jenayah serta dianggap sebagai sampah masyarakat. Ada diantara mereka yang sanggup bekerja di gereja-gereja membunyikan loceng-loceng kebathilan. Alhamdulillah, keadaan hidup mereka telah berubah dengan berkembangnya usaha agama di Swizerland, walaupun masih tidak secara total. Masalah utama mereka adalah kesan suasana sekitaran yang menjadi musuh utama kepada iman. Sewaktu kami di sana, orang-orang Swiss yang bertuhankan keduniaan sedang menganjurkan pesta lucah jalanan Zurich Street Festival. Alhamdulillah, Allah Ta’ala masih melindungi sebahagian hamba-hambaNya dengan RahmatNya dengan asbab usaha agama.Di Zurich juga kami mengunjungi seorang lelaki Melayu yang berkahwin dengan wanita Swiss dan membuka perniagaan restoran di Zurich dengan menjual minuman keras dan menghidangkan masakan khinzir. Sewaktu jumpa beliau di restorannya, kami tasykil beliau untuk solat berjemaah dan bersama dengan kami tetapi beliau tidak bersedia untuk beri masa. Amat sedih keadaan hidup yang beliau alami dibawah kongkongan isterinya. Semoga Allah Ta’ala selamatkan iman beliau.

“Sesungguhnya tanggungan Kamilah memberi hidayat petunjuk (tentang yang benar dan yang salah).” (Al-Layl 92:12)

Usaha agama di Switzerland adalah di bawah tanggungjawab dan pengawasan France. Setiap awal bulan pada minggu pertama, mereka bermesywarah di France dengan orang-orang tanggungjawab di sana. 2 bulan sekali rakan-rakan seusaha seluruh Switzerland bermesywarah di Masjid Madni di Zurich. Sebagaimana di Germany, usaha agama di Switzerland adalah secara terbuka. Tiada masaalah untuk buat umumi ghast. Cuma kehadiran kami sentiasa menjadi perhatian masyarakat kerana ketrampilan dan cara berpakaian kami berbeza daripada mereka. Sewaktu kami buat umumi ghast di tengah-tengah bandar, tiba-tiba datang seorang wanita cuba memberikan kami sekuntum bunga. Masya Allah, terkejutnya kami waktu itu tak tahu apa nak buat, cuma berjalan terus dengan merendahkan pandangan mata.

Seterusnya kami kembali ke Ulm, Germany dimana kami buat usaha di Masjid Arabische Zentrum, Zeppelinstrasse 35, Ulm. Kami dimaklumkan bahawa jemaah Malaysia pertama juga buat usaha di masjid ini tahun lepas. Alhamdulillah, berkat daripada pengorbanan mereka dan usaha rakan-rakan seusaha tempatan, di masjid ini hidup 5 amal. Usaha agama di sini rata-rata dijalankan oleh pemuda-pemuda Arab dan Turki serta pemuda-pemuda German yang baru masuk Islam. Di masjid ini 10 orang pemuda German telah masuk Islam dalam jangka masa 10 bulan yang lalu dan kebanyakan mereka buat usaha agama. Beberapa orang diantara mereka sedang belajar bahasa Arab di Mesir. Beberapa orang keluar 40 hari, 10 hari dan 3 hari dari masjid ini.Kemudian jemaah kami singgah di Masjid Salahuddin, Frauentorstrasse 10, Augsburg. Terdapat 15 buah masjid di Augsburg. Alhamdulillah, di sini kami dapat nusrah daripada seorang hafiz dan alim, Maulana Mustaffa Islam, berketurunan Turki yang belajar di Raiwind selama 9 tahun. Hanya di masjidnya (Islamische Gemeinschaft Milli Gorus, Boschstrasse 61-65, Augsburg) ada amal makami tetapi tidak dibenarkan i’tikaf. (Sebelum kami terlupa, Maulana Mustaffa kirim salam pada Hafiz Umar, dan semua maulana-maulana di Markaz Sri Petaling yang pernah belajar bersamanya di Raiwind dulu).

Di Augsburg juga kami buat usaha atas pelajar-pelajar tajaan MARA berpusat di German Malaysia Institute (GMI), Kuala Lumpur. Alhamdulillah, mereka ini telah melapangkan masa bersama kami selama 3 hari dan beberapa orang daripada mereka telah keluar 3 hari bersama rakan-rakan seusaha tempatan. Rata-rata mereka telah mengenali usaha agama semasa mereka belajar di GMI.

Perjalanan kami diteruskan ke M? (Munich). Oleh kerana M? adalah antara kota terbesar di German dan pusat perindustrian dan ramai penduduk Islam dan banyak pula masjid, kami telah buat usaha di sini selama 11 hari berpusat dari Masjid-ul Ummah, Tagetesstrasse 6; Masjid Salih Sanli, Carl-Wery-strasse 60; dan Masjid Omar, Bergmannstrasse 10, Munchen. Masjid-ul Ummah ialah tempat tumpuan usaha agama di Munchen dan Sheikh Abdul Wahid sab, jemaah tasykil German juga bermakami di sini. Kami telah targheeb pelajar-pelajar Indonesia sekitar 12 orang kepada usaha agama di Masjid Omar yang rata-rata mereka tidak pernah mendengar mengenai usaha atas iman dan amal. Kami juga telah bentuk 2 atau 3 jemaah untuk buat ghast di penginapan pelajar-pelajar universiti, di penginapan suaka politik, serta penginapan awam.

Seterusnya kami buat usaha selama 3 hari di Masjid Ar-Rahman, Hemauerstrasse 20, Regensburg, tidak jauh dari sempadan Checz Republic. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Nurnberg. Dalam perjalanan ke N?g kenderaan-kenderaan kami ditahan oleh polis setelah diikuti beberapa lama. Alhamdulillah, mereka membenarkan kami meneruskan perjalanan setelah mereka memeriksa passport dan beg-beg kami. Semasa diperiksa kami bersolah maghrib ditepi jalan. Seorang rakan seusaha tempatan keturunan Bosnia yang nusrah kami telah mendakwahkan anggota-anggota polis berkenaan kepada Islam. Sebenarnya ini adalah kali ketiga kami ditahan oleh polis German. Perkara ini kami anggap sebagai satu perkara biasa apatah lagi dengan salah tanggapan orang-orang bukan Islam terhadap orang-orang Islam dewasa ini. Apa yang jelas, mereka ini adalah masyarakat yang jiwa mereka diselubungi ketakutan, seperti seorang yang naik keretapi kelas satu tetapi tidak memiliki tiket.“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (An-Nahl 16:125)

Di N?g, kami buat usaha di Masjid Bilal, Zufurhstrasse 8. Dua tahu dahulu masjid ini hidup 5 amalan masjid tetapi sekarang solah fardhu pun tidak lagi dikerjakan dengan berjemaah. Di atas rak buku masih tersusun beberapa kitab Fadhail Amal dari berbagai bahasa. Usaha kami di sini ditumpukan terhadap menghidupkan kembali amalan masjid. Setelah kami khususi beberapa rakan seusaha, ramai lah ahli jemaah masjid dapat dikumpulkan dan diberi targheeb untuk menghidupkan kembali amalan masjid. Alhamdulillah, suasana masjid kembali hidup dan jelas terbayang harapan pada wajah-wajah mereka. Mereka bersama-sama bergandingan dengan kami buat umumi ghast dan memulakan semula taklim masjid. Jemaah 3 hari dibentuk untuk keluar pada bulan ini. Allah Ta’ala juga mempermudahkan usaha kami kerana mereka telah mengenali rapat seorang pelajar Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk menghidupkan kembali usaha agama di masjid ini. Beberapa orang rakan seusaha dari Erlangen, satu bandar berdekatan juga datang untuk membantu usaha agama di sini. Mereka akan terus buat intikali (ghast kedua) di Masjid Bilal ini.“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal

sempurna.” (Az-Zumar 39:18)

Alhamdulillah, di masjid ini juga kami mengumpulkan pelajar-pelajar Malaysia baru dan lama dan memberi targheeb terhadap kepentingan usaha agama bagi pelajar-pelajar. 22 orang pelajar-pelajar MARA baru tiba di N?g sehari sebelum ketibaan kami.

Kemudia kami buat usaha di Masjid Turkische di Pappenheim dalam kawasan Eichstatt, lebih kurang 70km dari N?g. Mashaallah, di kawasan ini usaha agama begitu maju dikalangan masyarakat Turki. 10 orang telah keluar 4 bulan ke IPB, 4 orang telah keluar jemmah masturat 40 hari ke Pakistan, dan ramai karkun 40 hari serta 3 hari. Mereka ini rata-ratanya pekerja kuari batu marmar yang di katakan paling bermutu di dunia. Mereka bekerja 8 bulan dan cuti 4 bulan setahun pada musim sejuk. Di kawasan kuari tempat mereka bekerja hidup solah berjemaah dan taklim harian. Ada tempat khas untuk mereka bersolah berjemaah. Selain Berlin, kawasan ini adalah kawasan yang paling maju usaha agama di Germany. Mereka keluarkan 3 jemaah 3 hari setiap bulan. Rakan-rakan seuasaha di sini berazam untuk keluar 40 hari ke Malaysia secepat mungkin.Esok kami akan ke Frankfurt semula kerana jemaah kami diputuskan untuk menghadiri satu jord karkun lama di Masjid Pak Muhammadi. Khabarnya jord ini akan dihadiri oleh Maulana Ibrahim Gujrati dan beberapa orang lama dari India. Setakat ini sahaja lapuran kami.InshaAllah, kami akan berikan laporan terakhir perjalanan kami semasa di Holland nanti.

Nikmat kehidupan (atau kesihatan) dan nikmat harta benda setiap seorang Muslim adalah milik Allah, yang mana Allah Ta’ala telah beli kedua-duanya dengan nilai syurga.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (diantara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (At-Taubah 9:111)

Rasulullah sallalaahu alayhi wasallam hat uns seit lang verlassen. Aber die Verantwortung f?n ist meine Arbeit, und Arbeit von den ganzen Menschen.Wassalamu’alaykum warahmatullahi wabarakatuh

0 ulasan: